Jumaat, 26 Ogos 2011

Apa itu praeklampsia?Part 2

Bagaimana saya boleh mencegahnya?
Tiada cara yang pasti untuk mencegah praeklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi anda tidak terancam ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Sebabnya ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal praeklampsia.

Terdapat bukti bahawa aspirin biasa dos rendah dan suplemen calcium sebelum dan semasa awal kehamilan boleh mencegah praeklampsia dalam sesetengah wanita. Berbincanglah dengan doktor jika anda berminat untuk mendapatkan rawatan ini.

Sekiranya saya mendapat praeklampsia, bagaimanakah rawatannya?

Jika tekanan darah anda naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke plasenta, atau dengan duduk dalam posisi tegak. Anda mungkin diminta pergi ke pejabat doktor setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.

Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan dimasukkan ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau. Imbasan akan digunakan untuk mengesan tumbesaran bayi anda dan alat CTG (cardiotocograph) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk meneruskan kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang yang sebaik-baiknya kepada bayi anda.

Anda juga akan diberikan suntikan magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai praeklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh.

Sekiranya tekanan darah anda tidak dapat dikawal, pakar obstetrik akan mencadangkan supaya anda menjalani cetusan kelahiran atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.

Praeklampsia akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih berisiko praeklampsia sehingga empat minggu selepas bayi anda dilahirkan, terutamanya jika praeklampsia anda itu teruk atau didiagnos apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih.

Apakah petanda amaran bagi praeklampsia?

Ada kalanya praeklampsia akan maju dengan pantas. Sekiranya anda berada dalam peringkat kedua kehamilan anda atau di minggu-minggu pertama selepas kelahiran, jangan teragak-agak untuk memanggil doktor anda jika anda mempunyai salah satu daripada simptom yang berikut:

• muka, tangan atau kaki anda bengkak dengan tiba-tiba;

• sakit kepala yang akut diikuti dengan penglihatan yang kabur;

• sakit yang tersangat teruk di bahagian atas abdomen anda;

• muntah.

Pengesanan dan rawatan awal boleh menentukan secara signifikan bagaimana praeklampsia itu berkembang kelak.

Bolehkah praeklampsia menyebabkan komplikasi lain?

Kadangkala, tetapi jarang berlaku, ia boleh membawa komplikasi seperti sindrom HELLP, yang merupakan gangguan fungsi hati dan pembekuan darah. HELPP bermaksud seperti berikut - haemolysis (H - pemecahan sel darah merah), enzim hati meningkat (EL - elevated liver enzymes) dan bilangan platelet yang rendah (LP - low platelet). Ia boleh berlaku sebelum praeklampsia dapat dikesan dan didiagnos. Simptom HELLP termasuklah sakit kepala, terasa loya dan sakit di bahagian atas abdomen.

Sumber: Babycentre

Tiada ulasan:

REMINDER

This blog is a personal blog and solely based from my personal life & expression. If you do not like what you see @ read, you are free to leave this blog.