Rabu, 24 Ogos 2011

Simptom selepas bersalin yang tidak boleh anda abaikan Part 1


Sumber: Babycentre Malaysia

Ianya adalah normal untuk mengalami sedikit pendarahan, ketidakselesaan dan keletihan selepas anda melahirkan bayi anda, dan sedikit usaha bantu diri biasanya cukup untuk mengatasinya (cuba lihat rencana kami tentang anda selepas bersalin).

Sekali-sekala, kecemasan perubatan yang sebenar akan terjadi dalam beberapa hari atau minggu selepas bersalin, dan mendapatkan rawatan secepat mungkin boleh mengelakkan penyakit menjadi teruk dan mempercepatkan pemulihan anda.

Selepas bersalin, tanyalah doktor anda bagaimana cara dan bila anda boleh dapatkan rawatan perubatan kecemasan sekiranya anda memerlukannya. Pastikan butiran itu ditulis di tempat yang selamat dan ahli keluarga anda tahu tempatnya. Ianya juga wajar untuk memaklumkan semua orang di mana anda menyimpan nota anda. Sekiranya berlaku kecemasan, ini dapat membantu krew ambulan memberi rawatan yang sepatutnya dengan segera.

Senarai berikut akan membantu anda mengenalpasti sama ada anda memerlukan rawatan serta-merta ataupun boleh menunggu sehingga waktu kerja biasa. Jika terdapat sebarang keraguan, hubungi doktor anda dengan segera.

Keadaan yang memerlukan rawatan kecemasan segera

Pergi ke hospital dengan segera jika anda mengalami mana-mana yang tertera di bawah:

Kehilangan darah yang banyak atau tiba-tiba (mungkin disertai tanda-tanda kejutan, seperti denyutan jantung yang pantas, pening kepala, berpeluhan dan naik pitam)
Kehilangan darah segar yang banyak dari vagina anda adalah pendarahan postpartum (sejenis pendarahan teruk selepas bersalin) dan anda mesti dapatkan rawatan dengan segera.

Sakit kepala yang teruk atau berpanjangan
Ini mungkin kesan sampingan suntikan epidural dan anda patut jumpa doktor secepat mungkin. Dalam 72 jam pertama selepas bersalin, sakit kepala yang teruk juga mungkin tanda pra-eklampsia, yang boleh berlaku selepas atau sebelum bersalin. Dengan pra-eklampsia, anda juga akan mengalami penglihatan kabur dan/atau berasa loya.

Tekanan darah tinggi
Tekanan darah anda patut diambil dalam enam jam pertama selepas bersalin. Jika angka di bawah (diastolik) adalah melebihi 90 ianya mungkin tanda anda ada pra-eklampsia dan berisiko menghidapi eklampsia. Anda patut dilihat oleh doktor dengan segera dan, jika perlu, dimasukkan ke hospital. Ianya lagi membimbangkan jika anda juga ada tanda-tanda lain pra-eklampsia, seperti sakit kepala, penglihatan kabur atau berasa loya.

Kesesakan nafas
Kejadian kesesakan nafas biasanya adalah akibat melakukan sesuatu yang aktif, seperti mendaki bukit. Tetapi, jika anda berasa terlalu sesak nafas dan ianya tidak pulih walaupun selepas anda berehat, ia mungkin tanda embolisme pulmonari (apabila pembekuan darah tersekat pada salah satu saluran darah di paru-paru).

Sakit dada
Jika anda mengalami kesakitan pada dada ianya mungkin suatu jangkitan dada atau otot tegang daripada penggunaan tenaga semasa bersalin. Namun begitu, ia juga mungkin tanda sejenis embolisme pulmonari dan harus tidak diabai. Jika anda mengalami kesakitan, kesesakan nafas atau batuk berdarah, anda pergi ke hospital dengan serta-merta.

Sakit betis
Kesakitan pada betis mungkin trombosis vena dalam (deep vein thrombosis – DVT). Ini adalah pembekuan darah pada vena dalam otot dan ia boleh membawa maut. Kadang-kala anda juga akan ada kemerahan, bengkak dan/atau suhu badan yang meningkat sedikit.

Pemikiran membunuh diri
Jika anda dapati diri anda memikirkan tentang kematian atau membunuh diri, hubungi doktor anda dengan segera atau berbincanglah dengan ahli keluarga anda supaya mereka boleh dapatkan bantuan untuk anda.

Berkelakuan manik, termasuk insomnia dan mudah rasa gelisah
Selepas melahirkan seorang bayi, sesetengah ibu mengalami perubahan dramatik pada kesihatan emosi dan mental mereka. Kekacauan pemikiran, terlalu mudah rasa gelisah, kekeliruan dan khayalan boleh menjadi permulaan sejenis keadaan kesihatan jarang berlaku yang dikenali sebagai psikosis puerperal. Ianya adalah amat penting bahawa anda mendapatkan rawatan dan pertolongan yang diperlukan.

Demam yang sangat panas (38 darjah C / 100 darjah F atau lebih)
Demam panas boleh disertai menggigil dan ia adalah suatu tanda infeksi. Selepas bersalin anda boleh menjadi sangat sakit dalam masa yang pendek sahaja jika anda ada infeksi yang tidak dirawat dengan segera. Tempat yang mudah terkena infeksi adalah pada jahitan atau rahim anda.

Tidak dapat membuang air kencing dalam enam jam yang pertama selepas bersalin
Jika anda tidak membuang sejumlah air kencing yang memuaskan dalam masa ini, anda mungkin ada takungan air kencing. Semasa anda berada di hospital, jururawat anda akan memerhati jumlah air kencing yang anda buang.

Tiada ulasan:

REMINDER

This blog is a personal blog and solely based from my personal life & expression. If you do not like what you see @ read, you are free to leave this blog.