Isnin, 20 Februari 2012

Perihal Penyusuan dan Anak Susuan dari www.brunet.bn

Frozen EBM aku yang bulan Januari masih ada baki lagi cuma belum kira lagi ade berapa(ade kat umah Kluang)...rasa mcm nak amik anak susuan lagi jek..tapi ape2 hal kena bincang dgn Cg Fly dulu dia kasi tak..tapi kalau frozen EBM tu tak digunakan, bulan April nanti dah expired lak..syg lah pulak..

Kat bwh ni pulak info dari sebuah laman web ttg hukum hakam agama dari mufti Brunei, kalo tak silap lah....mmg aku rajin cari gali ttg maklumat ibu susuan/anak susuan skrg ni...

Link asal di sini:http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic86_2001.htm

*anak damit = anak kecil (dulu pernah duk Labuan, so tau sikit2 istilah Sabahan ni..lebih kurg je dgn loghat Brunei...)

PERIHAL PENYUSUAN DAN ANAK SUSUAN

(Bilangan 125 Bahagian Ketiga)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Anak Susuan Dalam Hukum Haram Pernikahan

Apabila seorang perempuan menyusukan anak damit orang lain dengan air susu hasil daripada perkongsian perempuan itu dengan suaminya, maka jadilah anak itu sebagai anak susuan kepada keduanya. Dengan makna yang lain, mereka berdua menjadi ibu dan bapa susuan kepada anak damit itu. Adapun dalil dalam perkara ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata:

Maksudnya: "Sesungguhnya Aflah saudara Abi Al-Qu‘aisy meminta izin kepadaku (untuk masuk) setelah turunnya ayat Hijab, lalu aku berkata: "Demi Allah tidak aku mengizinkannya masuk sehinggalah aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana saudara Abi Al-Qu‘aisy bukanlah orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isteri Abi Al-Qu‘aisy."

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku maka aku berkata: "Wahai Rasulullah sesungguhnya lelaki itu bukan orang yang menyusuiku akan tetapi orang yang menyusuiku adalah isterinya (Abi Al-Qu‘aisy)."

Rasulullah bersabda: "Izinkanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu."

‘Urwah berkata: "Oleh kerana itu ‘Aisyah berkata: "Haramkanlah daripada sesusuan apa yang haram kerana nasab keturunan."

(Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian menjadilah anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Untuk lebih jelasnya berikut disebutkan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak damit susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan

ii. Suami ibu susuan

iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan

v. Adik beradik kepada ibu susuan

vi. Adik beradik kepada bapa susuan

vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan

viii. Anak-anak kepada ibu susuan

ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan, adalah anak damit yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya sehinggalah kebawah. Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan. Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara. Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu‘nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.

Beberapa Permasalahan Perihal Radha‘ (Penyusuan)

i. Penyusuan Kanak-Kanak Yang Sudah Besar

Jika kanak-kanak yang disusukan itu sudah melebihi umurnya daripada dua tahun qamariah (haulain), maka anak tersebut tidak lagi boleh disabitkan sebagai anak susuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."

(Surah Al-Baqarah: 233)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Tidak ada hubungan susuan melainkan apa yang disusukan di dalam masa dua tahun (sebelum dua tahun)."

(Hadis dikeluarkan oleh Ad-Darquthni)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: "Tidak mengharamkan daripada penyusuan itu kecuali apa yang menyerap di dalam tali perut pada ketika menyusu dan penyusuan itu sebelum bercerai daripada menyusu."

(Hadis riwayat Tirmidzi)

ii. Penyusuan Anak Damit Melalui Botol, Gelas Dan Sebagainya

Di antara syarat penyusuan anak damit itu ialah sampainya air susu perempuan ke perut anak damit, sama ada terus menerus melalui hisapan payudara atau secara perahan yang diminumkan ke mulut atau dimasukkan ke hidung melalui gelas, botol, sudu atau sebagainya. Kesemua cara yang demikian itu, adalah dikira sebagai proses penyusuan yang mensabitkan anak damit tersebut sebagai anak susuan.

Adapun jika dimasukkan air susu itu melalui lubang atau rongga-rongga yang lain seperti telinga, mata, dubur, qubul atau melalui tempat luka, ia tidak mensabitkan anak damit itu sebagai anak susuan kerana air susu itu tidak sampai ke dalam perut anak damit dan ia tidak memberi pertumbuhan badan terhadap anak tersebut.

iii. Penyusuan Dengan Susu Yang Bercampur

Air susu yang bercampur dengan sesuatu sama ada ia cecair seperti air, atau sesuatu yang keras seperti makanan air susu itu lebih banyak seperti ada tanda zahir warna susu atau rasa atau pun baunya maka sabit hukum susuan walaupun hanya sebahagian air susu yang bercampur itu diminum oleh anak damit itu.

Manakala jika air susu itu sedikit daripada campuran yang lain, sama ada campuran itu yang halal atau haram seperti arak dan sebagainya sehingga menghilangkan ketiga-tiga sifatnya iaitu warna, rasa dan bau, mengikut qaul yang azhar adalah sabit hukum susuan jika diberi minum pada anak damit itu keseluruhan air susu yang bercampur tersebut. Ini kerana telah yakin akan sampainya ‘ain air susu itu ke dalam perut.

Adapun jika diminum hanya sebahagian air susu yang bercampur itu, mengikut qaul yang ashah adalah tidak sabit hukum anak susuan padanya kerana tidak yakin akan sampainya air susu itu ke dalam perut. Adapun jika jelas dan yakin bahawa lebihan campuran itu hanya tertinggal sedikit kadar susu yang dikuasai itu, maka sabitlah anak damit tersebut sebagai anak susuan. (Mughni Al-Muhtaj: 3/529, Raudah At-Thalibin: 9/4-5)


Tiada ulasan:

REMINDER

This blog is a personal blog and solely based from my personal life & expression. If you do not like what you see @ read, you are free to leave this blog.